Jumaat, 27 September 2013

PROMOSI: NUCLEAR STRIKES - SINGLE 2.0.1.3


Berasal dari Kajang, Selangor, NUCLEAR STRIKES ditubuhkan pada tahun 2005 menggunakan nama JACK HAMMER di peringkat awal keujudan mereka. Ditunjangi vokalis wanita Steelgirl Ladyana, band berkonsepkan Traditional Heavy Metal / Hard Rock ini turut dianggotai oleh Rex Strike (gitar utama), 1 2 Kill (gitar kedua), Thunderbolt (bass) dan Iron Speed sebagai pemain dram. Pada tahun 2008, mereka sepatutnya mengeluarkan demo "Heavy Load" tetapi sehingga kini ia tidak diriliskan. Kemudian, "Megastorm Eyes" EP dikeluarkan sekitar 2011 yang bukan sahaja menerima sambutan peminat Rock/Metal tempatan bahkan mendapat perhatian penggemar dan label dari luar negara. 

NUCLEAR STRIKES kini dalam rangka mempromosi buah tangan terbaharu mereka SINGLE 2.0.1.3 yang mengandungi dua buah lagu dalam Bahasa Melayu. Single ini dikatakan sebagai sedikit berbeza berbanding "Megastorm Eyes" di mana muzikal dalam single ini lebih cenderung ke arah Hard Rock dan Balada. Mempertaruhkan lagu-lagu bertajuk Problema dan Dunia Cinta Dusta, Single NUCLEAR STRIKES 2.0.1.3 dikeluarkan oleh Madratts Production. BY'U' FM baru-baru ini menerima sumbangan dua lagu berkenaan untuk dikeudarakan. 

1. Problema (5:16) - Sebuah lagu yang sememangnya rocking!, pantas dan segar permainannya. Hardrock yang cukup berperisa! Lontaran vokal Steelgirl Ladyana amat mantap dan mungkin antara vokalis rock wanita yang terbaik di negara ini pada ketika ini. Ini adalah saduran atau nafas baru lagu Problema Cinta yang pernah didendangkan oleh artis Indonesia bertaraf antarabangsa, Anggun.

2. Dunia Cinta Dusta (5:55) - Lagu ini bersifat balada! Bukan rock meleleh versi Eddie Hamid tetapi ini tangkap lentok berinspirasikan zaman Rock Kapak. Melodi yang indah. Vokal yang enak. Solo gitarnya menusuk kalbu. Iringan kibod meruntun jiwa. Tanpa prasangka, ini sebuah karya yang tinggi kualitinya!!


SINGLE 2.0.1.3 mungkin sebuah pemanas badan, perantaraan di antara "Megastorm Eyes" dan sebuah album baru yang difahamkan masih dalam pembikinan. Malah pihak NUCLEAR STRIKES mengakui fokus pasaran single ini adalah Malaysia, Indonesia dan Singapura. Apa pun, NUCLEAR STRIKES adalah generasi baru Rock/Metal Malaysia yang cukup baik untuk diselidiki dan diberi sokongan sepenuhnya!

1 ulasan: