Oleh Georgie Joseph / Harian Metro
Banyak bergerak sendiri dan masih lagi bertahan dalam memperjuangkan muzik rock dan heavy metal yang masih menjadi ikutan.
Sofea yang pada mulanya dikenali sebagai SYJ dan Rockers dari Singapura adalah antara band rock era 80-an dan awal 90-an yang masih segar di ingatan peminat tegar muzik berkenaan.
Yang pastinya, semangat mereka berada di pentas pada awal kemunculan dan sekarang masih sama, malah pada 3 November ini dua band ini bakal berganding menerusi Konsert 2 Legenda (Malam Glam Rock) di Stadium Chin Woo, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.
Dianjurkan Rock Stone Entertainment, apa yang pasti pada konsert ini pastinya bakal mengembalikan nostalgia kehebatan tenaga mereka di atas pentas seperti dulu juga.
Mengimbau kembali kegemilangan Sofea, band berkenaan mula mencipta nama menerusi album sulung berjudul Kembali pada 1987 dan terus menjadi igauan peminat selepas muncul lagu-lagu hit termasuklah Anak Liar, Bunga Padang Pasir, Boneka Pentas, Mimpi dan Air Mata dan banyak lagi.
Ketika dikenali sebagai SYJ, mereka popular dengan lagu-lagu seperti Orang Timur, Hati Syaitan dan Mata Sepet ketika tampil dengan album kompilasi Battle of the Bands.
Muncul bersama pada sesi sidang media konsert berkenaan baru-baru ini, masing-masing nampaknya masih kekal dengan imej rock dan itulah juga suntikan wajib pada konsert sebenar nanti.
Menurut anggota Sofea, sekian lama tidak menakluk pentas dalam skala besar sebegini, mereka pastinya akan memperlihatkan semangat sebagaimana di waktu muda dulu.
Pada mereka, mengekalkan cara lama itulah identiti sebenar band berkenaan dan antara gimik ditampilkan pada malam itu nanti, pastinya imej rock dengan rambut panjang dan seluar ketat bagi menghangatkan lagi suasana itu.
Manakala buat band Rockers pula, semestinya konsert berkenaan cukup bermakna buat mereka apatah lagi bakal bergandingan dengan bekas pemain gitar Rusty Blade, Izad juga akan bersama mereka.
Kata anggotanya Joe, selepas lebih 20 tahun tidak beraksi dalam konsert berskala besar itu, mereka sudah tidak sabar untuk bertemu dan beraksi di hadapan peminat.
“Lama mengidamkan, saya sangat berharap peminat yang akan datang nanti ramai dan paling penting kami janjikan persembahan hebat demi menghargai betapa mereka masih setia menyokong kami.
“Kami sendiri juga tidak duduk diam dan turut mewar-warkan konsert terbabit kepada rakan-rakan terdekat mahupun peminat di luar Kuala Lumpur menerusi Facebook untuk datang nanti,” katanya.
Pasti harapan peminat menggunung untuk melihat sesuatu yang luar biasa daripada Rockers, tambah Joe, mereka juga akan menampilkan kelainan daripada segi kejutan.
“Kami akan menyanyikan dalam enam hingga tujuh lagu saja pada malam itu namun bergantung kepada penganjur, jika ada sebarang permintaan daripada peminat, mungkin kami akan tambah lagu lain.
“Yang pasti, kami juga bakal tampil dengan kejutan dan peminat harus datang menyaksikan sendiri untuk melihatnya,” katanya.
Menampilkan band Brown Attack sebagai artis pembukaan, konsert itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi radio internet rasmi FuhFM ‘Mencetus Fenomena’ menerusi laman www.fuhfm.com manakala istimewa untuk 300 pembeli awal, tiket boleh dibeli dengan harga RM65 manakala tiket secara ‘walk-in’ pula adalah RM70.
Untuk tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Rock Stone Entertainment di talian 017-616 9855 atau 014-731 6987
Sumber: www.hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada: 2013/10/11
Maklumat Tambahan:
Tiket juga boleh diperolehi di talian 016-2584405. Bagi mereka yang berada di Singapura dan Johor, boleh hubungi / SMS +65 85130441 (Joe/Ann) untuk mendapatkan tiket.
KIRIMAN: HASBE ZUZAINI | RUJUKAN: 03/11/2013 - KONSERT 2 LAGENDA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan