Isnin, 30 September 2013

PEMBERITAHUAN: ROMBONGAN BAS KE GEGARAN ROCK II


Bersempena konsert GEGARAN ROCK II yang berlangsung di Auto City, Juru, Pulau Pinang, satu rombongan bas telah disediakan untuk kemudahan mereka yang berada di sekitar Kuala Lumpur terutamanya untuk turut-serta menyaksikan konsert tersebut. Rombongan Bas ini adalah:

# Khas untuk peminat-peminat SYJ/Sofea, Sil Khannaz dan Nuclear Strikes yang mahu turut-serta

# Pakej Bas + Tiket Show hanya RM100/orang sahaja!

# Bas bergerak tengahari dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang

# Bas bergerak balik ke KL selepas show tersebut

# 40 orang pertama sahaja diperlukan

# Sekiranya berminat / sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 017-5033340

Difahamkan oleh pihak penganjur Rombongan Bas ini, masih terdapat 12 kekosongan. Dengan yang demikian, barangsiapa yang berminat untuk menyertai rombongan ini dan menyaksikan GEGARAN ROCK II sila segera berhubung dengan Hasbe Zuzaini (017-5033340) 

INFORMASI: HASBE ZUZAINI

Jumaat, 27 September 2013

PROMOSI: NUCLEAR STRIKES - SINGLE 2.0.1.3


Berasal dari Kajang, Selangor, NUCLEAR STRIKES ditubuhkan pada tahun 2005 menggunakan nama JACK HAMMER di peringkat awal keujudan mereka. Ditunjangi vokalis wanita Steelgirl Ladyana, band berkonsepkan Traditional Heavy Metal / Hard Rock ini turut dianggotai oleh Rex Strike (gitar utama), 1 2 Kill (gitar kedua), Thunderbolt (bass) dan Iron Speed sebagai pemain dram. Pada tahun 2008, mereka sepatutnya mengeluarkan demo "Heavy Load" tetapi sehingga kini ia tidak diriliskan. Kemudian, "Megastorm Eyes" EP dikeluarkan sekitar 2011 yang bukan sahaja menerima sambutan peminat Rock/Metal tempatan bahkan mendapat perhatian penggemar dan label dari luar negara. 

NUCLEAR STRIKES kini dalam rangka mempromosi buah tangan terbaharu mereka SINGLE 2.0.1.3 yang mengandungi dua buah lagu dalam Bahasa Melayu. Single ini dikatakan sebagai sedikit berbeza berbanding "Megastorm Eyes" di mana muzikal dalam single ini lebih cenderung ke arah Hard Rock dan Balada. Mempertaruhkan lagu-lagu bertajuk Problema dan Dunia Cinta Dusta, Single NUCLEAR STRIKES 2.0.1.3 dikeluarkan oleh Madratts Production. BY'U' FM baru-baru ini menerima sumbangan dua lagu berkenaan untuk dikeudarakan. 

1. Problema (5:16) - Sebuah lagu yang sememangnya rocking!, pantas dan segar permainannya. Hardrock yang cukup berperisa! Lontaran vokal Steelgirl Ladyana amat mantap dan mungkin antara vokalis rock wanita yang terbaik di negara ini pada ketika ini. Ini adalah saduran atau nafas baru lagu Problema Cinta yang pernah didendangkan oleh artis Indonesia bertaraf antarabangsa, Anggun.

2. Dunia Cinta Dusta (5:55) - Lagu ini bersifat balada! Bukan rock meleleh versi Eddie Hamid tetapi ini tangkap lentok berinspirasikan zaman Rock Kapak. Melodi yang indah. Vokal yang enak. Solo gitarnya menusuk kalbu. Iringan kibod meruntun jiwa. Tanpa prasangka, ini sebuah karya yang tinggi kualitinya!!


SINGLE 2.0.1.3 mungkin sebuah pemanas badan, perantaraan di antara "Megastorm Eyes" dan sebuah album baru yang difahamkan masih dalam pembikinan. Malah pihak NUCLEAR STRIKES mengakui fokus pasaran single ini adalah Malaysia, Indonesia dan Singapura. Apa pun, NUCLEAR STRIKES adalah generasi baru Rock/Metal Malaysia yang cukup baik untuk diselidiki dan diberi sokongan sepenuhnya!

Khamis, 26 September 2013

KONSERT: 03/11/2013 - KONSERT 2 LAGENDA

TARIKH: 3 NOVEMBER 2013 (AHAD) | TEMPAT: STADIUM CHIN WOO, JALAN HANG JEBAT, KUALA LUMPUR | MASA: 8:30MLM | TIKET: RM70 (300 PEMBELI AWAL RM65) | ARTIS: BROWN ATTACK (BAND PEMBUKAAN) / SYJ/SOFEA / ROCKERS | ANJURAN: ROCK STONE ENTERTAINMENT


INFORMASI:
www.facebook.com/events/577358345655162

KONSERT: 05/10/2013 - GEGARAN ROCK II 2013

TARIKH: 5 OKTOBER 2013 | TEMPAT: D'PARK-AUTO CITY, JURU, P.PINANG | MASA: 8:30 - 12:00 MLM | TIKET: RM35.00 | PERSEMBAHAN: SYJ/SOFEA / SIL KHANNAZ / STARGAZER RED / NUCLEAR STRIKES | ANJURAN: ALFIAN STUDIO PRODUCTION & TREBLE TROUBLE ENTERTAINMENT


INFORMASI:
www.facebook.com/events/592496030788383
www.facebook.com/groups/642562785756839

Rabu, 25 September 2013

ARTIKEL: J.S KEVIN


Nama sebenar Allahyarham, Zulkifli Adnan Mohd Razali dilahirkan pada tahun 1960 di Perak, tak pasti mana lokasinya. Allahyarham merupakan penerbit album dan komposer menggunakan nama pena J.S kevin, Z.N Kevin, Joe Kevin, Mr Kevin dan beberapa lagi nama pena pernah digunakan oleh Allahyarham. Tapi nama yang paling kerap digunakan oleh Allahyarham ialah J.S Kevin dan beliau memang lebih dikenali dengan nama tersebut. Dalam Album pertama XPDC, "Darjah Satu" beliau menggunakan kedua-dua nama J.S Kevin sebagai pencipta lagu dan Z.N Kevin sebagai penulis lirik. Menurut beliau Z.N Kevin adalah atas nama isterinya supaya isterinya turut mendapat royalti atas lagu yang diciptanya.

Allahyarham merupakan anak bongsu dari lima adik beradik, isteri beliau Noraishah Abdul Hamid dan mempunyai tiga orang cahaya mata. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 8 ogos 2002 pada usia 42 tahun akibat serangan angin ahmar dan paru paru berair.

Sepanjang hayat beliau banyak menghasilkan lagu dan lirik yang telah berjaya mengangkat nama banyak kumpulan rockapak dan artis solo tanahair antaranya XPDC, Wings, Fahrenheit, Hattan, BPR, MAY dan Hattan. Antara lagu-lagu yang mendapat sentuhan Allahyarham ialah, 'C.I.N.T.A', 'C.T Cinta Kenangan Silam', 'Titian Perjalanan', 'Hentian Ini' dan 'Teman' (XPDC), 'Biarkan berlalu', 'Misteri Mimpi Syakilla' dan 'Inspirasi Shakilla' (Wings), 'Kelmarin yang Pijar', 'Sabar Menanti', 'Kasih Orang Muda', 'Ana' (Farenheit), 'Biar Putih Tulang' (Dinamik), 'Dari Sinar Mata', 'Air Mata Jernih', 'Sudah Sampai Sini' (BPR) dan banyak lagi kalau nak sebut satu-satu besok pun tak habis. XPDC paling banyak menerima sentuhan Allahyarham dan lagu-lagu Allahyarham itulah yang telah mengangkat nama XPDC. 80 peratus lagu dalam Album Pertama XPDC, "Darjah Satu" adalah ciptaan beliau.

Lagu-lagu yang dihasilkan Allahyarham memang mempunyai nilai seni yang tinggi dan dari lirik yag dihasilkan mengandungi unsur keikhlasan dan makna tersendiri. Kebanyakan lagu Allahyarham disukai ramai dan kehilangan Allahyarham memang tiada pengganti. Walaupun Karya Allahyarham banyak menghasilkan karya masterpiece setaraf dengan M.Nasir dan Ramli Sarip, Allahyarham tetap maintain low profile, jauh dari publisiti dan rasanya kalau sesiapa selisih dengan dia tepi jalan takkan kenal dia tu J.S Kevin.


Lima tahun selepas pemergian Allahyarham, satu album mengandungi lagu-lagu Allahyarham yang tak sempat dirakamkan dihasilkan dan dinyanyikan oleh artis artis rockapak tanahair. Album tersebut berjudul "Tangisan di Gelanggang Fana", mengandungi sembilan lagu Allahyarham J.S Kevin yang belum pernah dirakamkan dan satu lagu didedikasikan untuk beliau berjudul 'Tangisan Di Gelanggang Fana' yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Mentor dalam album "Idola" ciptaan Harun BPR dan lirik oleh Abdullah Romany dinyanyikan semula beramai-ramai.

Akhir sekali Al-Fatihah ke atas roh Allahyarham...

KONTRIBUSI: NUR IMAYA KIRANA

Selasa, 24 September 2013

PROMOSI: OMEN - DARK INFERNAL BLACK METAL


OMEN merupakan sebuah band aliran Black Metal, diasaskan sekitar tahun 2007 di Pasir Mas, Kelantan. Mereka secara eksklusif menamakan Dark Infernal Black Metal sebagai klasifikasi muzikal mereka, di mana irama Black Metal itu akar-umbinya dengan sentuhan dan selitan elemen-elemen Thrash, Death dan juga Doom Metal. Band ini dianggotai oleh Ajal (vokal), Nathias (gitar), Iffritt (gitar), Ea'zuud (bass) dan Ma'indjingorka (dram). Sepanjang karier OMEN dalam persada muzik underground, mereka telah banyak mengeluarkan rilisan-rilisan berupa Promo, Demo, Split dan menyertai pelbagai kompilasi. 

Walaubagaimanapun, perjalanan muzik OMEN terhenti pada penghujung 2011 ekoran perpindahan dan lokasi masing-masing yang berjauhan mengakibatkan mereka sukar berkumpul bersama untuk praktis dan penciptaan material baru. Atas semangat dan kenangan yang masih ada, dua buah lagu telah disumbangkan kepada BY'U' FM untuk dikeudarakan, iaitu:

1. Into Diabolical Ancientness [remastered] - 3:58
2. Eternal Towards Infernal - 4:32


Bagi para pendengar BY'U' FM yang ingin mengenali OMEN, sila layari laman-laman berikut:

Isnin, 23 September 2013

PEMBERITAHUAN: MANIFESTASI BY'U' FM INFOTAINMENT


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apa khabar para pendengar BY'U' FM? Semoga kalian sihat walafiat dan senantiasa berbahagia hendaknya. Anda sekarang berada di laman BY'U' FM INFOTAINMENT. Ianya sebuah laman yang diujudkan atas dasar sokongan dan kesinambungan kepada laman rasmi Radio Online BY'U' FM yang mana dapat anda layari / dengari di byufm.blogspot.com. Di laman infotainment ini, anda dihidangkan dengan pelbagai paparan yang menjurus kepada promosi artis/band dan lagu-lagu yang dikeudarakan di corong BY'U' FM. Selainnya, ini adalah pusat informasi segala aktiviti komuniti pentadbir dan pendengar-pendengar BY'U' FM, serta artikel-artikel berkaitan dunia Muzik Rock; merangkumi Rock Kapak, Metal, Punk Rock, Underground, Guitar Hero dan seumpamanya baik dari sudut material rilisan, konsert, berita-berita semasa dan seumpamanya! 

Selaras dengan misi dan visi BY'U' FM INFOTAINMENT sebagai saluran terdekat Operasi Radio Online BY'U' FM itu sendiri, kami menjemput anda untuk mengirim apa sahaja bahan ROCK yang mahu dikongsi bersama di laman ini. Kepada pihak band/artis mahupun label (Syarikat Rakaman/Produksi) yang ingin lagu-lagu anda dikeudarakan di BY'U' FM, sila kemukakan lagu-lagu (format .mp3) bersama sedikit deskripsi sekiranya boleh. Pastikan ianya semestinya ROCK merangkumi sub-genre Heavy Metal, Punk Oi!, Grindcore dan seumpamanya! 

Kami mengalu-alukan kontribusi anda, dan kami tanpa ragu pasti memberikan promosi terbaik untuk anda juga. Hubungi kami di emel: byufminfotainment@gmail.com atau facebook: Pian Kvlt selaku pengendali laman BY'U' FM INFOTAINMENT. Gegaran Rock Sepanjang Masa Hanya Di BY'U' FM: